Wanita DiancamPembuli Siber
![]() |
Membeli-belah melalui Internet menjadi trend masyarakat moden namun ia harus dilakukan dengan berwaspada - Gambar hiasan |
BERDASARKAN kajian yang dilakukan oleh Nielsen/NetRatings pada Mei 2006, 52 peratus pengguna Internet adalah terdiri di kalangan wanita.
Penyelidikan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada tahun yang sama pula mendapati 52 peratus penguna Internet di rumah merupakan golongan lelaki manakala 47 peratus adalah wanita.
Peratusan hasil kaji selidik kedua-dua institusi tersebut menunjukkan kaum wanita kini semakin selesa menggunakan Internet sebagai alat penghubung untuk mereka berkomunikasi selain melakukan aktiviti e-dagang.
Namun begitu, dalam keghairahan meneroka Internet, kaum wanita juga terdedah kepada penjenayah-penjenayah siber yang memburu mangsa-mangsanya menerusi kepakaran mereka sebagai penggodam komputer atau pun melalui laman sembang dan sebagainya.
Pengurus Pemasaran Serantau, Perniagaan Pelanggan, Rantau Asia Selatan, Symantec Corporation, Effendy Ibrahim berkata, pencapaian akademik yang lebih baik berbanding lelaki antara faktor pendorong kepada kaum wanita menjadi pengguna Internet utama di negara ini dan juga di peringkat global.
“Malah faktor tersebut turut mendorong kaum wanita untuk meneroka kepelbagaian penggunaan Internet seperti e-mel, laman sembang sehinggalah kepada membeli-belah secara online dan pencarian maklumat,’’ katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menghadiri sesi perbincangan dan berkongsi pengalaman bersama Datin Paduka Marina Mahathir, mengenai wanita menjadi mangsa buli siber anjuran Norton Symantec, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurutnya, kecenderungan wanita membuat blog sendiri selain menyertai laman jaringan sosial seperti Friendster, MySpace, Xanga atau Facebook turut mendedahkan mereka kepada pergaulan sosial yang lebih luas.
Jelas beliau, rata-rata pengguna internet terbabit tidak mengendahkan tentang pentingnya diri dilindungi daripada menjadi mangsa penggodam komputer yang berpotensi mengancam kehidupan mereka.
“Kebanyakan wanita sangat gemar berkongsi pengalaman dan idea melalui blog mereka, bagaimanapun, cara ini mendedahkan mereka kepada serangan ‘pengganas’ online yang mungkin akan mengintip, mengganggu, melontarkan komen-komen negatif atau berbentuk penghinaan,’’ ujarnya.
Effendy berkata, selain menjadi pengguna Internet yang aktif, wanita perlu tahu risiko diri mereka terdedah kepada pembuli atau pemburu siber yang cenderung untuk mengganggu-gugat kehidupan mangsanya.
‘Banyak cara yang boleh diaplikasikan untuk melindungi pengguna internet seperti memasang sistem keselamatan di komputer peribadi bagi menyekat cubaan-cubaan pihak tertentu untuk menceroboh atau mencuri maklumat,’’ tambahnya.
Katanya lagi, bagi pengguna yang mempunyai blog sendiri, sekatan juga boleh dibuat bagi mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan perkara-perkara negatif yang berupaya mengancam penulis blog terbabit.
Sementara itu, Marina ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut memberitahu, kaum wanita perlu sentiasa berhati-hati setiap kali mereka melayari internet terutamanya ketika menelusuri laman sembang (chat) atau menerima e-mel daripada pihak yang tidak dikenali.
“Jika ada orang bertanya pandangan saya, jawapannya mudah iaitu jangan layan kerana jika kita layan ia secara tidak langsung mendedahkan diri kepada situasi yang mungkin mengancam keselamatan kita,’’ katanya.
Menurutnya, beliau merupakan seorang peminat setia Internet dan memiliki laman blog sendiri selain rajin berinteraktif bersama teman-teman melalui aplikasi pesanan segera (instant messenger).
Namun begitu, Marina menjelaskan, setiap pengguna Internet perlu memiliki pengetahuan mengenai bidang teknologi maklumat (IT) bagi mengelakkan menjadi mangsa manipulasi pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau turut menasihatkan kepada golongan wanita agar mendapatkan pandangan daripada pakar IT bagi memastikan sistem yang diguna pakai berupaya melindungi komputer mereka daripada diceroboh.
Sememangnya tidak dinafikan perkhidmatan Internet mampu menawarkan golongan wanita kepada persekitaran kerja yang selesa, tetapi tanpa disedari, mereka juga terdedah kepada ancaman yang mampu menggugat kehidupan seharian.
Mengambil contoh senario yang berlaku di barat, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) melaporkan sekurang-kurangnya seorang daripada 12 wanita di negara itu terdedah kepada penghendap siber.
Pada Mac 2007, seorang tenaga pengajar Java dan pakar pembangunan permainan (games), Kathy Sierra dari California, AS telah menerima ancaman bunuh dan juga komen-komen negatif yang membahayakan nyawanya di laman blog miliknya.
Ancaman tersebut diterima Kathy berikutan pandangan yang dilontarkan oleh wanita itu melalui blognya telah menimbulkan rasa kurang senang pihak tertentu dan mereka juga beranggapan isu yang cuba dibangkitkan oleh Kathy adalah remeh-temeh.
Serangan terhadap Kathy juga lebih bersifat diskriminasi gender hanya semata-mata kerana dia merupakan seorang wanita dan terdapat pihak yang enggan menerima pandangannya itu.
Ekoran ancaman tersebut, kehidupan Kathy terus berubah apabila dia enggan untuk keluar dari kediamannya kerana berasakan keselamatannya tergugat sehingga dia sanggup membatalkan beberapa urusan kerjanya di luar.
Kejadian yang menimpa Kathy itu telah menerima publisiti yang meluas apabila isu gangguan penjenayah siber ke atas wanita telah dibangkitkan di media-media Barat.



























